Berdoalah kepadaku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu | Sharing from NH 🌸

Sharing from NH 🌸
Sekadar perkongsian kisah benar. Ada seorang ustaz didatangi oleh seorang hamba Allah ni.

" Ustaz. Dompet saya hilang. "

Ustaz membalas dengan ringkas,

" Berdoalah. Allah Maha Mendengar. "

Kemudian berdoalah si fulan ni.

Beberapa hari kemudian, si fulan datang lagi berjumpa ustaz ni.

" Ustaz. Alhamdulillah betul Allah Maha mendengar, saya dah jumpa dompet saya. Tapi... "

" Tapi apa ? " Balas ustaz.

" Tapi yang ada dalam dompet hanya kad pengenalan je ustaz. "

" Kamu doa apa dengan Allah ? "

Kemudian dilafazlah doa yang dilafaznya kepada Allah.

" Ya Allah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat, Yang Maha Mengetahui. Dompet aku hilang Ya Allah. Aku tak kisah jika wang aku hilang. Tapi aku nak kad pengenalan aku Ya Allah. "

" Bersyukurlah, Allah memakbulkan doa kamu. Kerana kamu hanya berdoa untuk menemui kembali kad pengenalan kamu, kalau kamu doa sekali dengan wang kamu, boleh jadi Allah akan mengembalikan kepada kamu semula sebagaimana kamu temui kad pengenalan kamu. "

Terdiam si fulan tadi. Memang betul fokus doa dia hanya kepada IC, dan Allah kembalikan IC tersebut. Begitulah sepatutnya yang kita perlu fahami, dalam konsep berdoa pun Allah meneliti setiap doa-doa yang kita lafaz. Kalau kita doa nak menjadi tetamu Allah mengerjakan umrah, maka mungkin Allah akan beri peluang itu 5 atau 6 tahun akan datang. Tapi kalau kita doa nak jadi tetamu Allah tahun ini, kebarangkalian Allah memakbulkan dan memperkenankan tahun ini dengan rezeki yang tak disangka-sangka.

Saya percaya akan kuasa doa. Tanyalah kepada ahli keluarga saya terutamanya, saya memang orangnya agak pelupa sikit. Baru letak kunci kereta beberapa minit dah lupa letak kat mana. Baru letak hp beberapa minit dah lupa letak kat mana.

Saya pernah kehilangan hp ketika di kelantan dulu, ketika saya pergi ke satu pantai tu. Alhamdulillah bila doa sungguh-sungguh. Saya dapat hp kembali. Baru-baru ini, 2 minggu lepas pun saya kehilangan hp saya. Ketika itu saya pergi ke beberapa tempat, di tempat makcik menjual tudung, menjual jubah, menjual pakaian kanak-kanak dan banyak lagi tempat persinggahan saya datang. Bila nak pulang ke rumah, dalam perjalanan baru sedar tiada hp dalam beg. Selalunya saya tidak menggelabah sangat. Terus beristigfar minta ampun pada Allah. Kemudian saya pejam mata fikir balik di mana tempat-tempat yang saya pergi tadi.

Lepas saya berdoa, Allah sendiri yang gerakkan hati saya untuk balik semula kepada makcik yang jual jubah hitam tadi. Padahal ramai je makcik yang saya berborak tadi. Padahal ada kemungkinan hp saya terjatuh di mana-mana rumput ke, atau di mana-mana. Saya sendiri tidak tahu tercicir di mana, bila saya datang ke arah makcik jual jubah. Belum sempat saya tanya, beliau senyum sambil hulur hp,

" Hp kamu ya nak ? "

Masya Allah!

Baiknya Allah. Allah yang gerakkan saya ke sana. Allah yang pimpin hati saya. Allah yang beri saya ilham untuk bertanya siapa dalam ramai-ramai manusia yang saya bermuamalah tadi. Subhanallah.

Sebab tu saya kalau down, putus asa, banyak masalah, banyak ujian, banyak hal yang buat otak saya serabut. Tak boleh dah berfikir lama-lama, nak pecah kepala. Saya akan datang singgah mana-mana masjid. Saya duduk. Saya solat. Saya berdoa lama-lama. Saya bertasbih, beristigfar. Saya sujud lama-lama. Saya berdoa sungguh-sungguh. Saya hayati setiap zikir. Kadangkala saya terlelap beberapa minit di atas sejadah.

Tapi saat kaki saya melangkah keluar masjid. Saya tenang. Rasa ringan. Rasa takda apa yang berlaku. Rasa semua urusan akan lancar. Rasa Allah jaga. Dan kadang-kadang semua ujian akan selesai satu per satu dengan mudah.

Kadang-kadang masa jammed pun dan susah nak cari parkir kereta, boleh doa time-time tu. Insya Allah, dengan mudahnya Allah akan bantu.

Maka berdoalah. Doa adalah perbuatan yang paling profesional saat seseorang terkapai-kapai dengan masalah yang menggila. Insya Allah doa juga senjata orang-orang mukmin. Buat mereka yang masih bujang inilah peluang keemasan untuk doa banyak-banyak agar diberikan pasangan yang baik. Pasangan yang sentiasa mencintai Allah. Banyak lagi kita boleh doa. Terpulang.

Let's handle it professionally.
Let's really put our hopes to Allah.

Jangan malas nak doa.
Sebab Allah tak pernah malas untuk 'mendengar'.

" Berdoalah kepadaku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. "

- Surah al Ghafir: ayat 60

Moga bermanfaat.

- NHhttps://telegram.me/kakHassanah

0 Response to "Berdoalah kepadaku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu | Sharing from NH 🌸"

Post a Comment